Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan lompat parti banyak berlaku di Sabah.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Saya berpendapat bahawa 'lompat-melompat' banyak berlaku di Sabah, entah pasal apa.

"Saya tak tahu. Ini berlaku dahulu tapi di peringkat pusat ini tak pernah berlaku seperti ini, kita hormat keputusan yang dibuat rakyat," katanya ketika membahaskan Titah Diraja DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, parti dan dasar yang majoriti ditolak rakyat kini membentuk kerajaan dan mengekalkan dasar-dasar yang ditolak itu.

"Ada ahli yang salahkan saya kerana pertukaran ini disebabkan saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Sebenarnya apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh parti Bersatu dan bertindak keluar dari PH, seluruh anggota PH kehilangan jawatan mereka.

"Saya sebagai anggota kerajaan PH juga kehilangan jawatan," ujarnya.