Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak meminta anggota dan pemimpin parti supaya melupakan seketika soal pemilihan sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kuasa politik yang ada tidak akan bermakna sekiranya parti kehilangan kuasa untuk memerintah negara.

"Sekarang bukan masa kita mengatur soal pemilihan... perjuangan hanya dapat diteruskan sekiranya kita ada kuasa politik.

"Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi parti tetap ada, jadi utamakan tanggungjawab sebagai anggota parti kerana parti UMNO dan BN diwariskan kepada kita untuk diperturunkan kepada anak cucu kita dalam keadaan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN P085 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan Datuk Zalmah Abdul Rahman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan Datuk Shahruddin Ahmad.

Lebih 10,000 jentera BN termasuk parti komponen dari semua cawangan di Parlimen Pekan hadir pada majlis pelancaran itu.

Najib juga menyifatkan kehadiran jumlah jentera berkenaan menunjukkan BN tidak tergugat di kawasan itu walaupun dengan kehadiran seorang bekas pemimpin negara yang berusia 93 tahun.

"Cukuplah dengan kekuatan yang diperlihatkan hari ini... kepada sesiapa yang ada cita-cita nak bertanding di Pekan, ini (baru) sebahagian sahaja kekuatan yang kita ada di Pekan.

"Kita ramai lagi bala tentera, kalau tak percaya pergilah ke merata-rata tempat di Pekan ini... mereka tidak yakin kepada orang yang tidak mengambil berat kepada mereka.