Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini menjelaskan beliau masih presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang sah sehingga pemilihan parti itu pada 17 Nov nanti.

Mah berkata memang beliau meletak jawatan pada Mei selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun Jawatankuasa Pusat (CC) parti tidak menerima peletakan jawatannya itu malah Timbalan Presiden parti Dr Cheah Soon Hai juga tidak mahu memangku jawatan presiden.

"Beliau (Dr Cheah) cakap kita bersama-sama, kita 'caretaker' (pentadbir sementara) sehingga pemilihan parti... saya 'caretaker', masih presiden hingga pemilihan parti akan datang pada 17 November," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah 2018 di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang melaporkan beliau membuat pengumuman secara rasmi peletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan di Seremban, 16 Sept lepas.

Mah berkata berlaku salah faham dan tafsiran berbeza dalam laporan media berkenaan dengan apa yang sebenar dimaksudkannya iaitu beliau tidak akan bertanding untuk jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Sementara itu, beliau berkata resolusi berkaitan menukar perlembagaan parti supaya semua anggota parti itu dari peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan boleh mengundi dalam pemilihan parti akan dibuat pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan, November nanti.

"Ini bagi memastikan peringkat akar umbi lebih dekat dengan kepimpinan," katanya.

Dalam pada itu, Mah berkata Gerakan menyokong penuh keputusan Kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Beliau berkata langkah itu bertepatan pada masa ini kerana pengundi muda dilihat boleh mengubah landskap arena politik pada masa hadapan.

Pada persidangan itu Mah turut mengumumkan M. Marimuthu Selvan menang tanpa bertanding sebagai pengerusi Gerakan Kedah yang baharu bagi menggantikan Dr Cheah.

-- BERNAMA