Majlis penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilaporkan berlangsung malam tadi adalah tidak benar.

Ia sebaliknya hanya perjumpaan sesama pemimpin protem parti itu di Sarawak dan penyokongnya.

Ia berlangsung secara tertutup di Bangunan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di sini pada pukul 7.30 malam.

Seorang daripada pengerusi protem bahagiannya, Johan Mohamad, yang menafikan majlis penubuhan cawangan parti itu malam tadi, berkata pihaknya tidak terlibat dalam penyebaran berita yang tidak benar itu.

"Apa yang kita cuba lakukan sekarang ialah untuk menubuhkan 31 bahagian parti di Sarawak, kemudian mendaftarkannya dengan ibu pejabat parti.

"Selepas itu, barulah akan diadakan majlis perasmian penubuhan PPBM Sarawak yang diharap dapat dilangsungkan pada September tahun ini," kata Johan pada sidang media di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak di sini malam tadi.

Johan, yang juga pengerusi penaja PPBM bahagian Stampin, turut menafikan wujud perpecahan dalam kalangan pemimpin penaja parti itu di Sarawak, sebaliknya beberapa pemimpin protem PPBM Sarawak bersatu untuk merealisasikan penubuhan PPBM Sarawak.

-- BERNAMA