Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Perkara itu telah dimaklumkan kepada Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, surat serahan tangan telah dihantar kepada pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 4 Mei, manakala satu lagi surat serahan dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 7 Mei.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat pada 21 Mac dan 26 April yang lalu untuk antara lain membincangkan isu jawatan Ketua Pembangkang.

"Secara kelaziman, jawatan Ketua Pembangkang diberi keutamaan kepada parti di dalam blok pembangkang yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai. Pada masa yang sama, pemilihan Ketua Pembangkang dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen di blok pembangkang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, DAP yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai telah memaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa mereka tidak akan menjawat jawatan Ketua Pembangkang.