Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan dalam tempoh terdekat, paling lewat ia perlu diadakan pada Ogos tahun ini.

Setiap parti sedang membuat persiapan peringkat akhir untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada PRU14 akan datang.

Semua parti yang bertanding mempunyai agenda masing-masing untuk menawan hati pengundi dan memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Namun, penganalisis politik berpendapat, parti-parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan perlu menjadikan isu kepentingan orang Melayu sebagai agenda utama mereka kerana kebanyakan kerusi yang ditandingi merupakan kawasan majoriti Melayu.

"Saya rasa selepas dua kali PRU, pengalaman dua kali PRU, kita melihat pakatan pembangkang gagal mendapat undi yang cukup untuk menang, terutama di peringkat Putrajaya.

"Buat kali ini, nampaknya pakatan pembangkang tidak dapat bersatu sepenuhnya, sepertimana pilihan raya sebelum ini.

"Justeru itu, strategi politik khusus kepada orang Melayu itu menjadi perkara yang sangat penting, bukan saja untuk menang di peringkat Putrajaya, tetapi juga kekal di kerusi-kerusi sedia ada dan negeri-negeri yang pernah dikuasai pakatan pembangkang," kata penganalisis politik, Hasmi Hashim.

Seorang lagi penganalisis politik, Hisomuddin Bakar yang juga Pengarah Eksekutif Ilham Centre berpendapat, Pakatan sukar mendapat undi Melayu jika tidak mengangkat agenda Melayu dalam perjuangan mereka.

"Bagi Pakatan, sebenarnya bila mereka menumpukan di 165 kerusi Parlimen, agenda Melayu ini perlu dilihat sebagai agenda paling ke depan untuk mereka tawarkan kepada 15 juta pengundi, sebab pertembungan sengit adalah di kawasan majoriti Melayu," katanya.