Parti Amanah Negara (Amanah) perlu memberi perhatian kepada kerusi yang boleh memberikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding jumlah kerusi bertanding, kata Timbalan Ketua Pemudanya Muhammad Faiz Fadzil.

Hujah Muhammad Faiz, kemenangan dalam PRU14 juga boleh menentukan survival Amanah dalam landskap politik negara pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan daripada badan penyelidik Ilham Centre yang menasihatkan Amanah tidak meminta terlalu banyak kerusi parlimen bagi menghadapi PRU14.

"Jika Amanah diberikan tanggungjawab untuk bertanding di kerusi-kerusi yang mempunyai harapan untuk memang ia adalah lebih baik berbanding kerusi yang banyak tetapi tidak memberikan harapan kepada kita.

"Apa yang lebih baik, apa yang lebih bijak adalah keputusan, we want the result, we want the result means quality seat, jadi numbers not important, quality seat more important," katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum ini Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpendapat Amanah perlu melihat kepada kekuatan sebenar mereka sebelum menuntut kerusi yang lebih banyak.

Hisommuddin berkata pimpinan Amanah tidak seharusnya terpengaruh dengan permintaan akar umbi mereka dalam membuat keputusan untuk menuntut kerusi pilihan raya.

Amanah kini mempunyai enam ahli parlimen yang mana kesemua mereka adalah bekas wakil rakyat Pas yang bertindak keluar parti selepas tewas pada pemilihan parti pada 2015.