Konsep taawun atau kerjasama ke arah kebaikan antara Pas dan UMNO diterima baik pengundi Kelantan yang berada di perantauan sehingga mereka menyatakan untuk memberikan peluang kepada Barisan Nasional mentadbir negeri Kelantan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, berbaki dua hari sebelum hari pengundian, pihaknya menerima maklum balas positif dari pengundi luar yang menyatakan sokongan kepada BN Kelantan.

Katanya selama 28 tahun Pas Kelantan mentadbir, mereka merasakan tiada perubahan yang berlaku bahkan mereka mendakwa kebaikan dari konsep taawun itu harus diterjemahkan dalam bentuk memberikan peluang kepada BN Kelantan menerajui kerajaan bagi melihat perubahan di negeri ini.

“Antara Pas dan Umno dah dibuktikan dengan bertaawun, jadi kalau boleh taawun apa salahnya beri peluang kepada BN memerintah.

''Ini suasana baru, saya bukan kata tsunami tetapi yang menentukan perubahan di Kelantan, sebahagian besarnya faktor perantau,'' Katanya selepas majlis penawaran manifesto BN Ketereh di sini malam tadi.

Menurut Annuar lagi, undi perantau memang diakui merupakan undi penentu kemenangan.

Beliau mengalu-alukan kepulangan pengundi luar untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam menentukan hala tuju perjalanan kerajaan untuk lima tahun akan datang.

Tegasnya, iklim politik Pas dan Pakatan Harapan di Kelantan berbeza untuk pilihan raya kali ini kerana kedua-duanya saling serang-menyerang di pentas politik, sebaliknya pendekatan politik BN Kelantan lebih kepada mendampingi rakyat serta menawarkan khidmat untuk rakyat.