Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan ke Sabah dalam beberapa hari ini dalam misi 'memulihkan'' prestasi pembangkang di sana.

Menurut Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dilihat memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di Sabah dan memberikan satu tamparan hebat kepada pembangkang.

"Namun, kami difahamkan Tun Dr Mahathir juga akan adakan perbincangan tertutup dengan setiap parti pembangkang di Sabah.

"Pertemuan ini bagi memastikan pertandingan satu lawan satu di setiap kawasan.

"Jika hal ini berlaku dan dipersetujui, maka jumlah kerusi yang akan dimenangi pembangkang dijangka meningkat," katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum ini, beliau menjangkakan, pembangkang di Sabah akan berjaya memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Berdasarkan analisis lapangan serta data yang dikumpul, Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka memberikan saingan sengit di beberapa kawasan terutamanya kawasan Pantai Timur Sabah.