Masyarakat kini kian matang dalam menentukan calon-calon yang berintegriti untuk menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Malah, Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran berkata, masyarakat juga pasti menolak calon yang hanya tahu melontarkan janji kosong demi meraih sokongan dan populariti diri sendiri semata-mata.

"Apa yang masyarakat mahukan dari seorang pemimpin yang boleh dipantau dan diketahui menerusi saluran media sosial sebelum dipilih.

"Pelbagai kajian sikap telah dibuat bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Perkara yang paling penting yang rakyat mahukan daripada seorang wakil rakyat adalah integriti dan boleh dipercayai,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: BN ucap selamat tinggal kepada calon tiada integriti - TPM Ahmad Zahid

BACA:
Guna sepenuhnya peluang kerajaan untuk masyarakat India - Sivarraajh

Sivarraajh mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua calon BN bagi PRU14 sedang menjalani tapisan integriti sepenuhnya bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang salah laku melibatkan integriti.

Ahmad Zahid berkata tapisan itu dilakukan oleh unit khas BN bersama agensi-agensi berkaitan, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perkembangan berasingan, Sivarraajh yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berkata, pihaknya telah ke Pejabat Perdana Menteri pada Rabu untuk membincangkan beberapa isu melibatkan perumahan penduduk di sana.

"Saya telah turun padang untuk membantu penduduk berkenaan mencari penyelesaian bagi masalah perumahan yang dihadapi oleh golongan B40 di Cameron Highlands.

"Satu mesyuarat bersama Pegawai Khas Perdana Menteri, Thanaselan Rajendran telah diadakan dan telah menemui jalan penyelasaian bagi masalah ini.

"Saya akan berganding bahu bersama Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands Suresh Kumar bagi menangani masalah ini," jelasnya.

Katanya lagi, beberapa cadangan juga sudah dikemukakan untuk penyelesaian termasuklah cadangan perumahan rakyat untuk golongan itu, skim pembayaran yang mudah selain melihat kembali beberapa skim perumahan Kerajaan Persekutuan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang boleh menyelesaikan masalah berbangkit," ujarnya.

Jelasnya lagi, seramai kira-kira 35 penduduk Cameron Highlands hadir dalam pertemuan berkenaan.