Generasi muda perlu mempunyai kesedaran dalam politik supaya mereka dapat melihat mana yang baik dan buruk dalam membandingkan pemerintahan sedia ada, dengan apa yang cuba ditawarkan pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, gabungan parti politik di bawah Pakatan Harapan hanyalah sebuah 'untested coalition' (gabungan yang belum teruji), dan sentiasa mempunyai perasaan tidak senang hati serta curiga antara satu sama lain.

Berbeza dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib berkata, mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam mengurus negara dan sentiasa mempunyai pelan serta perancangan terperinci bagi memastikan masa depan Malaysia terus gemilang.

"Kepimpinan hari ini yang boleh bawa negara kita ke arah masa depan yang gemilang, seperti mana yang kita harapkan melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50)," kata beliau, yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Rangkaian Sahabat Puteri BN – Azalea 2018, di Taman Tasik Perdana, di sini hari ini.

Turut menghadiri majlis itu ialah isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Puteri BN Datuk Mas Ermieyanti Samsudin, serta ribuan ahli pergerakan sayap Puteri, dan badan bukan kerajaan.

Berucap lanjut, Datuk Seri Najib berkata, kerajaan kini berjaya membawa kemakmuran kepada negara, dan ini, tambahnya lagi, disokong dengan penumbuhan keluaran kasar dalam negara sebanyak 6.2 peratus pada suku ketiga 2017, pengukuhan kadar Ringgit berbanding Dolar Amerika, serta pembinaan Transit Aliran Massa.

Selari dengan pengiktirafan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita, Datuk Seri Najib berkata, kerajaan mempunyai aspirasi dan perancangan yang menyeluruh untuk memajukan golongan muda, dan juga wanita.

Menyentuh mengenai Azalea 2018, beliau berharap agar ia dapat mencapai objektif penubuhannya iaitu memastikan kesemua ahli sayap puteri komponen tidak lagi melakukan gerak kerja secara silo, sebaliknya bergerak bersama-sama, terutamanya dalam usaha menghadapi pilihan raya umum nanti.