Pas telah menjadikan orang Melayu semakin ekstrim daripada zaman 80-an dengan 'Amanat Hadi' sampai sekarang, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil.

Hujah Muhammad Faiz, sikap ekstrimis dikalangan orang Melayu amat bahaya untuk pembangunan negara kerana ia boleh membawa kepada rusuhan dan keganasan.

Disebabkan kegagalan Pas itu, Muhammad Faiz menjelaskan Amanah tampil dengan membawa konsep progresif untuk ditawarkan kepada orang Melayu.

"Kami (Amanah) mahu mendidik orang Melayu memahami bahawa agama Islam merupakan agama yang progresif. Tetapi progresif bukan bermaksud agama yang liberal.

"Kita tidak perlu memakai pakaian yang contohnya kita pakai pakaian seperti orang Arab, jubah dan sebagainya, tetapi kualiti kehidupan itu, dari sudut moralnya, rasuah tidak dipedulikan, pendapatan yang tinggi tidak diangkat sebagai agenda, itu tidak ada gunanya, kita mahu orang Islam dapat berdaya saing dengan orang bukan Islam, bukan sahaja diperingkat antarabangsa tetapi juga peringkat tempatan.

"Biarlah orang Melayu Islam itu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang bukan Islam, jadi kita mahu mendidik bahawa Islam itu tidak melarang kita untuk maju, Islam menganjurkan atau mementingkan pendidikan, sains, teknologi dan sebagainya," katanya kepada Astro AWANI.

Mengukuhkan hujah bahawa Islam mementingkan ilmu, Muhammad Faiz mengambil contoh tokoh-tokoh dalam bidang sains suatu masa dahulu yang terdiri dari orang Islam seperti Ibnu Sina dan sebagainya.

Kerana itu beliau berharap agar rakyat dapat menilai dengan baik perjuangan setiap parti dan tidak terpengaruh dengan fahaman sempit yang dibawa sesetengah parti.