Walaupun jumlah penyokong Pas di Selangor agak ‘solid’, perkara itu bukan jaminan parti tersebut dapat memperkukuhkan kedudukannya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, yang juga Exco Kerajaan Negeri itu, Pas perlu memulihkan persepsi tidak betul yang selama ini dibina oleh musuh Pas.

“Saya tak nafikan bahawa untuk menang (pilihan raya) tidak boleh bergantung kepada undi ahli Pas atau pengundi tegar parti yang majoritinya adalah Melayu Islam sahaja, walaupun ada pengundi bukan Melayu tegar.

“Pas perlu memulihkan persepsi tidak betul yang berjaya dibina oleh musuh parti itu. Kalau persepsi ini berjaya diperbetulkan sebelum PRU14, ia akan menambah pengundi dari pelbagai bangsa lain selain Melayu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, yang mengatakan sokongan daripada ahli parti semata-mata tidak akan menjamin kedudukan Pas di negeri itu.

Pas kini hanya tinggal satu sahaja wakil Parlimen di Selangor iaitu Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, selepas tiga lagi ahli parlimennya meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dalam Dewan Undangan Negeri pula, Pas hanya tinggal 13 wakil selepas dua wakilnya iaitu ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib, dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin turut menyertai AMANAH.

Walaupun keputusan Muktamar Pas pada April tahun lepas bersetuju memutuskan hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali masih mengekalkan tiga ADUN Pas sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Dr Ahmad Yunus dilaporkan sebagai berkata, Pas Selangor bersedia untuk di 42 kerusi DUN, selain 20 kerusi Parlimen di negeri itu, selain memastikan Menteri Besar seterusnya datang dari parti itu.

“Saya yakin kali ini pengundi UMNO dari kalangan orang Melayu akan beralih kepada Pas kerana kepimpinan UMNO sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk membawa agenda Melayu dan Islam.

"Agenda Pas adalah untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan anutan agama,” katanya lagi.