Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan akan melepaskan jawatan dan meninggalkan badan pemikir itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ideas memaklumkan Wan Saiful akan meninggalkan badan pemikir yang diasaskan itu berkuatkuasa hujung bulan ini.

Wan Saiful dalam kenyataan itu memberitahu, beliau mengambil keputusan meninggalkan Ideas kerana mahu melakukan perubahan.

"Setelah menghabiskan sembilan tahun terakhir hidup saya untuk membina Ideas, tidak mudah untuk pergi.

"Tetapi saya melihat langkah seterusnya sebagai langkah yang perlu diambil sekarang atau saya akan menyesal selama-lamanya," katanya.

Wan Saiful dijangka akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan meninggalkan Pas yang dianggotainya ketika masih lagi menuntut di United Kingdom pada 1992 dan menjadi ahli seumur hidup parti itu pada 1997.

Sehingga kini Astro AWANI berusaha mendapatkan Wan Saiful untuk medapatkan reaksi namun sehingga kini masih belum berhasil.

Menerusi akaun facebook rasminya, Wan Saiful memohon maaf kerana tidak menjawab panggilan telefon dan pertanyaan yang diajukan kepadanya.

"Mohon maaf kerana tidak dapat menjawab semua panggilan telefon dan whatsapp. Panggilan dan mesej masuk bertubi-tubi dan saya tidak sempat menjawab semuanya," katanya.