Jika (bekas) Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun tidak mampu menggugat kubu kuat UMNO Barisan Nasional di Pendang, Kedah, pada pilihan raya umum yang lepas, apa agaknya peluang bagi Timbalan Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan pula?

Bersandar faktor populariti di media sosial, tak dapat dinafikan Wan Saiful ini lebih popular.

Ini selepas mengambil kira status beliau sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, satu platform yang beliau tubuhkan bersama-sama dengan seorang lagi tokoh anak muda, Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad.

‘Think-tank’ itu mempunyai signifikasinya tersendiri dalam mempengaruhi perjalanan parlimen, pendapat awam, dan juga polisi-polisi kerajaan sedia ada.

Tambahan pula, Wan Saiful banyak mencurahkan idea-idea mengenai hala tuju negara ini, kerana beliau pernah menjadi kolumnis akhbar The Star melalui ruangan ‘Thinking Liberally’, menjadikan beliau lebih gah di kalangan warga media, dan individu yang suka membaca.

Tetapi, memang lah, mana mungkin pilihan raya itu dapat disukat seratus peratus dengan ketampakan di media sosial sahaja.

Kita sedang bercakap mengenai Parlimen Pendang, sebuah daerah yang berkeluasan 629 kilometer persegi, dan kaum Melayu merupakan penduduk terbesar iaitu sebanyak 88 peratus, diikuti kaum Cina (6 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

Pendang, yang satu ketika dahulu dikenali sebagai 'Pendiat', atau tempat menjinakkan gajah-gajah liar, lebih banyak ladang-ladang getah, sawah padi yang menghijau, dan deretan bukit-bukau berbanding bangunan mencakar langit di ibu kota.

Daripada keluasan 629km persegi itu, hampir 40 peratus daripadanya diusahakan untuk tanaman getah, dan 30 peratus untuk tanaman padi, dan ada juga tanaman lain diusahakan seperti rambutan, durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka dan manggis.

Perindustriannya pula dikatakan berselerak, dengan tumpuan lebih banyak diberikan kepada sektor pertanian yang menghasilkan beras dan komoditi seperti getah.

Jadi arena ini mungkin sesuatu yang berbeza untuk Wan Saiful, apatah lagi dikatakan lawan Wan Saiful dari Barisan Nasional bukan calang-calang.

Walaupun belum dikeluarkan senarai rasmi, tapi ada cakap-cakap mengatakan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Othman Abdul akan turun mempertahankan kerusi Pendang, medan permainan politik beliau sejak 1986 lagi.

Bekas pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang juga bekas Setiausaha Parlimen kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu sudah bertanding sebanyak enam kali iaitu 1986, 1990, 1995, 1999, 2002 (Pilihan Raya Kecil), dan 2013.

Menarik sekali jika dilihat, pada PRU 2013, ketika peratus keluar mengundi mencecah 89.04 peratus, hampir 32,165 daripada keseluruhan 70,135 pengundi berdaftar memilih Othman untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Ada juga yang mengatakan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, merangkap Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Shafian akan diturunkan kali ini, walaupun beliau pernah tewas dua kali kepada calon PAS, Dr Hayati Othman pada PRU 2004 dan 2008.

Dalam meneliti arus perjalanan politik ketika ini, apatah lagi faktor bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini menerajui pakatan pembangkang, dan akan bakal bertanding di Parlimen Langkawi, mungkin juga arus itu akan melanda Pendang.

Apatah rakyat Pendang kini mempunyai lebih banyak pilihan kerana saingan tiga penjuru itu sudah pasti. Maka kita boleh simpulkan, apa-apa pun boleh terjadi.