Kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR seiring hasrat ahli parti itu yang mahukan beliau berperanan penting dalam Pakatan Harapan (PH).

Penyandang kerusi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyambut keputusan itu berkata, ia bukti Anwar mendapat sokongan dan dokongan tidak berbelah bagi.

"Alhamdulillah. Saya gembira kerana beliau sekarang mendapat sokongan dan dokongan tanpa berbelah bahagi untuk memimpin parti dan ini terbukti daripada pencalonan semalam, tiada pencalonan lain selain daripada Anwar.

"Ini membuktikan bahawa ahli parti ingin melihat Anwar diberikan peranan penting dalam memimpin parti sebagai sebuah blok terbesar dalam PH," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menambah, kepimpinan Anwar mengemudi PKR akan dimanfaatkan sebaiknya oleh parti dan juga PH.

"Sudah tentu kepimpinan beliau amat penting untuk dimanfaatkan oleh parti dan PH," katanya.

Sementara itu, berkenaan pertembungannya dengan pencabar tunggalnya, Rafizi Ramli, dalam pemilihan parti, Mohamed Azmin menyerahkan kepada ahli PKR untuk memutuskannya.

"Terserah kepada kebijaksanaan ahli PKR untuk membuat pilihan," ujarnya.

Anwar akan mengambil alih jawatan itu daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggalas tanggungjawab itu sejak 2003.