Parlimen Bagan Datuk akan mempunyai manifestonya sendiri untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang yang akan dilancarkan pada 28 April ini.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto tersebut dirangka khusus untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.

Menurutnya, pelancaran manifesto akan dibuat di Dewan Hajah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat pada hari tersebut.

"Manifesto khas ini merangkumi kepentingan semua kaum di Bagan Datuk iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli kerana PRU kali ini kita ada lapan orang pengundi Orang Asli.

"Kita akan berlaku adil pada semua. Bukan janji kosong. Yang tak janji pun kita buat, ini kan pula yang kita janjikan,” katanya.

BACA: PRU14: Senarai calon BN akan diumum pengerusi negeri - TPM Zahid

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan selepas sesi lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Buluh, Hutan Melintang, dekat sini, pada Khamis.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di deretan kedai di Simpang Tiga di sini dan beramah mesra dengan peniaga berbilang kaum di kawasan itu.

Beliau yang tiba sekitar pukul 9 pagi itu turut meluangkan masa selama satu jam bersarapan serta berbual dengan rakyat setempat.

Turut hadir, isterinya Datin Seri Hamidah Khamis dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Katanya, setiap ahli Barisan Nasional (BN) memerlukan pertolongan daripada rakan-rakan dari parti komponen sepanjang tempoh berkempen.