UMNO Sabah terus kekal relevan dan kuat serta masih mendapat sokongan yang padu daripada kalangan ahli-ahli UMNO di negeri ini.

Calon Presiden, Khairy Jamaluddin berkata walaupun UMNO bukan lagi kerajaan yang memerintah tetapi sokongan yang diterima oleh ahli UMNO dalam mesyuarat pewakilan yang diadakan masih mencatatkan kehadiran yang memuaskan.

Menurut Khairy, sekiranya beliau dipilih menjadi Presiden dalam pemilihan parti itu pada Sabtu ini, satu manifesto khas bagi UMNO Sabah telah diwujudkan dalam penentuan dan pentadbiran demi membawa perubahan dalam parti keramat itu.

"Saya telah bawa satu manifesto khusus untuk UMNO Sabah dengan memperkenalkan 'political autonomy' kepada UMNO di negeri ini agar tidak ada persepsi bahawa UMNO Sabah ini parti di bawah cengkaman UMNO di Semenanjung.

"Kita juga mahu tunjuk bahawa rakyat Sabah mempunyai kebebasan untuk diberikan jawatan Naib Presiden di peringkat pusat untuk diberi kebebasan menentukan calon untuk membuat pentadbiran dan sebagainya.

"Ini adalah satu formula baharu yang saya bentangkan kepada perwakilan Sabah untuk mereka memikirkan apa yang saya bentangkan ini boleh meyakinkan UMNO di Sabah," katanya ketika satu program sesi beramah mesra UMNO Sabah di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, perlembagaan parti juga perlu distrukturkan semula dengan memberi penekanan terhadap hak dan suara UMNO Sabah.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah untuk memastikan suara rakyat Sabah didengar di peringkat nasional dan beliau turut memberikan keistimewaan terhadap rakyat Sabah dengan menawarkan satu jawatan Naib Presiden yang hanya akan diisi oleh ahli UMNO Sabah.

"Kedudukan Sabah tidak sama seperti negeri lain di Semenanjung kerana secara asasnya negeri ini bukan menyertai tetapi bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963.

"Ini bermakna, Sabah mempunyai harga diri dan maruah yang tersendiri maka atas sebab itu wakil daripada negeri ini harus diberi keutamaan dan kedudukan di peringkat tertinggi dalam parti," katanya.