Manifesto Pakatan Harapan (PH) hanya membazirkan masa dan masih tidak berubah dengan hanya menjual janji-janji manis kepada rakyat negara ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia turut dilihat meniru inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

"Terlalu banyak janji yang ditawarkan dalam Buku Harapan adalah tidak logik, tidak realistik dan janji manis semata-mata. Ia hanyalah harapan palsu.

"Sebagai contoh, janji mereka yang menawarkan siaran percuma untuk semua siaran liga sukan utama dunia termasuk EPL adalah keterlaluan. Kos penyiaran ini terlalu tinggi dan tidak membawa manfaat yang setimpal. Ketika kerajaan sedang berusaha untuk menaikkan taraf sukan negara ke peringkat dunia, Pakatan Harapan terus menerus membiarkan rakyat menjadi penonton di kaca televisyen sahaja.

"Cadangan Pakatan Harapan untuk membenarkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memulakan pembayaran bagi peminjam yang bergaji RM4,000 dan ke atas sahaja juga tidak munasabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Khamis, PH melancarkan manifesto PRU14 yang menjanjikan 10 perkara, bagi meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH.

Tegas Khairul Azwan, Buku Harapan mengandungi idea-idea lapuk dan janji manis yang tidak pasti.

Jelasnya, apabila dilihat kepada cadangan mereka untuk mengembalikan subsidi minyak, kerajaan kini sedang bekerja keras untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

"Di masa hadapan kita hanya akan menggunakan sumber tenaga hijau dan yang boleh diperbaharui. Jerman dan China sedang menuju ke arah ini dan pemberian subsidi minyak bermaksud kita kembali 10 tahun ke belakang.

"Pakatan Harapan juga ingin menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mana ini akan mengurangkan pendapatan kerajaan di saat negara sedang mempelbagaikan sumber pendapatan.

"Sehingga Pakatan Harapan mampu menunjukkan alternatif kepada GST, manifesto mereka hanyalah harapan palsu semata-mata," ujarnya.

Kata Khairul Azwan lagi, Pakatan Harapan turut menyenaraikan lima iltizam di dalam Buku Harapan dan berjanji untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500.

Jelasnya, kerajaan sudah pun mendahului langkah itu dengan skim latihan buat golongan belia melalui pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan bayaran elaun sebanyak RM2,000.

 "Apakah langkah yang akan diambil oleh Pakatan Harapan untuk menyediakan 1 juta pekerjaan yang dijanjikan?

"Pakatan Harapan seterusnya berjanji untuk membina sebanyak 1 juta rumah mampu milik di seluruh negara dan menyediakan kemudahan pinjaman untuk pemilik rumah pertama.

"Inisiatif ini sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan BN melalui Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan MyDeposit," jelasnya.

Apa yang lebih meragukan tegas Khairul Azwan adalah janji Pakatan Harapan untuk menaikkan gaji minima sehingga RM1,500.

Tambahnya, walaupun pada dasarnya kelihatan indah atas kertas, kesannya terhadap pertumbuhan jangka panjang amat memudaratkan.

"Syarikat 'start up' dan industri kecil dan sederhana tidak mampu menampung penambahan kos gaji setinggi ini. Tambahan pula pekerja yang berpendapatan RM1,500 dan ke atas buat masa ini akan juga mendesak dinaikkan gaji pada kadar yang sama.

"Gaji minima yang baru akan menyebabkan banyak syarikat-syarikat terkesan oleh kerana kos gaji dan operasi yang terlampau tinggi.

"Rentetan daripada itu, syarikat 'start up' dari luar negara tidak akan lagi memandang Malaysia sebagai hub ekonomi yang kompetitif," katanya.

Secara keseluruhannya katanya, Manifesto Pakatan Harapan gagal untuk membawa negara menuju ke arah ekonomi hijau dan lestari.

"Kerajaan BN mendidik belia bahawa setiap perbuatan dan tindakan mempunyai kesan jangka masa panjang. Inilah maksudnya untuk hidup di dalam ekonomi yang berkongsi.

"Marilah kita berdiri teguh dan tidak terpedaya dengan janji manis Pakatan Harapan. Janganlah kita terpedaya dengan tipu helah mereka yang sebenarnya bukanlah untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi hanya untuk mendapatkan kuasa dan mencapai agenda peribadi masing-masing," jelasnya.