Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata Exco Pas Selangor perlu meletakkan jawatan mereka selepas hubungan antara Pas dengan PKR terputus.

Pas katanya tidak boleh berdalih untuk terus kekal di dalam kabinet kerajaan negeri itu dengan alasan ia atas mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan raya Umum (PRU) yang lepas.

Jelas Ibrahim, rakyat memberikan mandat untuk Pakatan Harapan memerintah Selangor, bukannya untuk Pas berada menduduki kerusi Exco kerajaan negeri.

“Walaupun katanya mereka gabungan Pakatan Harapan, saya masih ingat mereka bertanding dengan bendera yang berbeza bukan di bawah bendera yang sama.

“Bila mereka tubuh kerajaan selepas menang, mereka tidak boleh kata itu mandat rakyat. Maknanya kalau Pas letak jawatan, maka jawatan itu diisi oleh lain-lain parti dan ia masih lagi mandat rakyat kerana Pakatan Harapan masih memerintah,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini hari ini.

Katanya, ia sesuatu yang janggal dan pelik apabila Pas masih berada dalam kabinet Selangor setelah keputusan telah dibuat untuk menamatkan semua hubungan dengan PKR di semua peringkat.

“Peliklah kalau Majlis Syura dah buat keputusan, Muktamar yang lepas pun dah buat keputusan, bercakap pun dah hentam-menghentam kemudian masih duduk sekali.

“Maknanya dari segi analogi orang berkahwin, dah bercerai masih duduk serumah. Ini bahaya, jadi khalwat politik pula,” katanya.

Beliau berpendapat, keengganan Pas meletak jawatan adalah mungkin khuatir pengaruhnya di Selangor akan hilang dan tempat yang dikosongkan akan diambil alih Parti Amanah Negara (Amanah), sesuatu yang tidak diingini Pas.

Namun beliau percaya Pas akan lebih bermaruah dan dipandang tinggi sekiranya mereka teguh dan tegas dengan keputusan yang telah dibuat.

“Jadi bagi saya kalau tak letak jawatan itu namanya dayus dan kita boleh tafsir ini mungkin kerana mereka mempunyai kepentingan kebendaan,” ujarnya.