Pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat tempatan, malah dikagumi rakyat di seluruh dunia.

Beberapa pemimpin utama turut mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam.

Jiran terdekat negara kita, Singapura, antara yang terawal meluahkan ucapan tahniah malah tidak sabar untuk menjalinkan kerjasama yang lebih kukuh.

Bukan itu sahaja, Perdana Menteri India, Narendra Modi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau.

Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawarta, mengucapkan tahniah kepada Tun M di atas kemunculan semula mengepalai Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, ahli Senator Australia, Dean Smith turut menzahirkan ucapan tahniah buat Tun Dr Mahathir atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ketujuh.

"Saya rasakan beliau akan membawa kebijaksanaan, pengalaman hebat kepada peranannya di Malaysia dan sesiapa yang berminat dalam politik Malaysia tentunya gembira atas kemenangan yang dikecapi," katanya dalam satu rakaman video di Canberra.


Manakala, Jabatan Negara Amerika Syarikat juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas penyertaan mereka dalam kempen pilihan raya yang sengit.

Dalam satu kenyataan, jurucakapnya Heather Nauert berkata rakyat Malaysia telah terlibat dalam proses pemilihan secara besar-besaran dengan penuh semangat.

"Rakyat Malaysia dari semua parti, negeri, dan latar belakang terlibat proses pemilihan secara besar-besaran secara aman dan dengan penuh semangat.

"Kami mengharapkan semua institusi akan melaksanakan fungsi dan tugas mereka untuk menghasilkan dan melaksanakan keputusan rasmi mengikut perlembagaan persekutuan dan kehendak rakyat," katanya.

Sementara itu, wajah-wajah Tun Dr Mahathir selepas dilantik sebagai Perdana Menteri membanjiri muka depan akhbar-akhbar tempatan.

Pelantikan Tun M sebagai Perdana Menteri Ketujuh menjadi perbualan hangat oleh akhbar cetak dalam dan luar negara.

Turut menjadi perhatian, akhbar antarabangsa dari Amerika Syarikat, The New York Times dan dari Australia, The Australian yang turut meletakkan berita pelantikan itu di muka depan akhbar mereka, selain laporan-laporan atas talian serta laporan televisyen oleh BBC, CNN, The Guardian, New York Post, The Telegraph, Al-Jazeera dan banyak lagi.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Malaysia mendapat liputan meluas dari media antarabangsa kerana selepas sedekad diterajui Barisan Nasional (BN), tampuk kepimpinan negara berubah tangan ke Pakatan Harapan (PH).