Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan masyarakat Muar untuk tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba mengeksploitasi kawasan mereka terutamanya calon yang disifatkan sebagai 'anak kucing' dan 'setahun jagung'.

Hishammuddin berkata, BN mempunyai sejarah dan rekod pencapaian dalam perjuangan yang ikhlas dan jujur berbanding pihak pembangkang yang tidak tahu hujung pangkal, lebih lebih lagi isu melibatkan rakyat setempat.

Merujuk kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan calon PKR Parlimen Muar itu, beliau berkata BN tidak perlu takut dengan calon yang disifatkan sebagai 'anak kucing' itu yang terang-terang tidak mengerti tentang isu-isu yang dihadapi rakyat.

"Apa kita nak takut sangat? (Dia) Bukan singa merah, (tapi) anak kucing merah... yang depan ni semua harimau-harimau biru.

"Anak kucing ini tak tahu isu luar, anak kucing ini tak pernah turun keluar, anak kucing ini tak tahu isu yang perlu dibela di sini... dia tak boleh pengaruhi orang dewasa dekat tempat ni. Kacang saja," kata Hishammuddin kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih bersama kira-kira 1,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Muar (APM) dan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) di Bangunan UMNO Bahagian Muar hari ini.

Hadir sama pada program itu ialah Pengerusi BN Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang juga calon P.146 Muar, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani (N.15) Datuk Ashari Md Sarip dan calon BN bagi DUN Sungai Balang (N.16), Zaiton Ismail.

Hishammuddin berkata, Muar merupakan kubu kuat BN dan jentera BN Muar perlu memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini dan meminta ahli agar jangan sekali-kali melepaskan 'lubuk emas' ini kepada pembangkang.

Beliau juga berharap, baki beberapa hari lagi ini akan dimanfaatkan oleh pengundi untuk menilai semula kemampuan barisan calon sebagai penentu dan masa depan di kawasan mereka.

Mengulas lanjut, katanya Muar juga bukan 'test place' atau tempat ujian untuk mana-mana pihak yang cuba untuk mencuba nasib.

Kerusi Parlimen Muar dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Razali yang merupakan penyandang kerusi berkenaan, syed saddiq (PKR) dan Abdul Aziz Talib (Pas).

Isu peluang pekerjaan

Sementara itu, Syed Saddiq dalam responsnya terhadap kenyataan Hishammuddin, berkata masyarakat Muar pada hakikatnya sudah muak dengan keadaan di situ dan kini mereka dahagakan perubahan.

"Rakyat Muar sudah tidak mahu untuk tinggal di Muar kerana isu peluang pekerjaan yang tidak berjaya dijawab oleh BN. Muar digelar 'bandar pencen”' dan tidak ada daya tarikan kepada orang muda.

"Malah, orang Muar sering kali pergi ke Batu Pahat ataupun Melaka kerana kekurangan kemudahan yang ada di Muar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, keadaan di Muar juga tidak mencerminkan status sebagai bandar terpenting di utara Johor.

"Gelarlah saya 'anak kucing' atau apa pun tetapi ia tidak menafikan bahawa orang Muar sendiri mengatakan Muar jauh terkebelakang daripada daerah-daerah Johor yang lain," tambahnya.