Masyarakat Pagoh perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kelestarian pembangunan di kawasan berkenaan.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, BN meneruskan pembangunan di sini walaupun berlaku perubahan dalam politik setempat apabila Anggota Parlimennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada UMNO.

"MIC sebagai sebahagian daripada parti komponen BN akan terus memberi sokongan bagi memastikan bahawa masyarakat Pagoh terus mendapat kemudahan pembangunan daripada kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas upacara meletakkan batu asas Dewan Rekreasi Tertutup Taman Sri Pagoh dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC negeri Johor Datuk M. Asojan.

Subramaniam memberi jaminan bahawa 70 peratus daripada 1,800 pengundi India di Pagoh akan terus memberi sokongan padu kepada BN dan tidak akan mengubah pendirian tersebut.

"Semua masyarakat dan parti-parti lain di Pagoh perlu terus memberi sokongan kepada BN agar usaha pembangunan dapat diteruskan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata pihak kementerian tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada semua orang termasuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Kita akan lihat kepada keperluan rawatan yang sesuai dan menyerahkan kepada pakar untuk memberi rawatan terbaik untuk beliau (Anwar)," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan memberi rawatan pasca pembedahan terbaik kepada Ketua Umum Pakatan Harapan itu.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat Anwar di HKL.

Mengulas mengenai kejadian asap yang keluar dari siling di Wad Isolasi Lelaki Hospital Sibu, Sarawak pagi semalam, Subramaniam berkata pihaknya telah menerima laporan daripada pihak bomba bahawa kejadian tersebut berpunca daripada masalah kipas (blower) dalam pendingin hawa.

"Masalah itu telah berjaya diatasi dan hospital tersebut selamat diduduki termasuk Wad Isolasi Lelaki," katanya.

-- BERNAMA