Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan rekrut terbaharu mereka, ahli akademik Maszlee Malik dalam satu sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penyertaan Maszlee akan membantu mengukuhkan usaha parti dalam menyebarkan dakwah Islam serta kebenaran.

"Kami yakin dengan kemasukan beliau (Maszlee) dapat membuktikan bahawa PPBM merupakan platform yang sesuai untuk disertai golongan akademik," kata beliau.

Sementara itu, Maszlee menyatakan bahawa isu yang membelenggu negara ini 'memaksa' beliau untuk melibatkan diri dalam politik kepartian.

"Walaupun terdapat pihak yang mempelawa saya untuk menyertai parti politik sebelum ini,saya terpaksa menolak kerana masih berpegang kepada ideal untuk menjadi intelektual awam yang bebas mendidik, mengkritik dan membimbing semua pihak.

"Namun, keadaan kini telah mengheret saya untuk keluar dari zon selesa daripada seorang ahli akademik kepada seorang penyumbang dalam lapangan secara serius," kata beliau.

Apabila ditanya sekiranya beliau bersedia untuk dicalonkan PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), nanti, Maszlee berkata beliau akan menurut arahan parti.

"Fokus saya pada ketika ini adalah membantu parti.

"Jika saya dicalonkan, saya akan menurut arahan parti," katanya.

Maszlee, 44 tahun merupakan profesor pembantu di jabatan sains politik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Anak kelahiran Johor itu pernah berkhidmat di beberapa badan pemikir dan juga dijemput sebagai panelis atau moderator bagi forum yang membincangkan isu-isu berkaitan politik Islam.