UMNO Kelantan hari ini melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor yang baharu Mat Razi Mat Ail sebagai ikon wakil rakyat negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan majoriti undi besar yang diperoleh Mat Razi sebanyak 2,635 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Khamis lepas.

"Kita nak bina kekuatan UMNO dan kemenangan ini satu prestasi yang amat membanggakan. Kita akan jadikan kemenangan ini sebagai satu motivasi untuk kita menang dan mentadbir Kelantan.

"Di sini adanya jentera yang mantap, gerak kerja yang tersusun, kerjasama yang erat...kita nak jadikan sebagai kaedah bekerja di sini untuk kita bekerja di tempat lain di Kelantan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jentera Barisan Nasional (BN) PRK itu di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan berkata beliau akan membimbing Mat Razi bagi memastikan beliau sentiasa diterima dan disenangi rakyat.

"Saya pandu beliau untuk jadi wakil rakyat yang disenangi dan yang penting jangan ada beza taraf dengan masyarakat," katanya.

Beliau berkata selain peribadi dan perwatakan yang baik, Mat Razi mestilah mempunyai sikap rendah diri dan bertawaduk bagi memastikan beliau disenangi rakyat.

"Dia juga perlu rajin.. rajin dalam setiap hal (seperti) rajin bertemu penduduk, kita nak jadikan beliau seorang yang khidmatnya terpuji, perwatakannya jadi ikon kepada semua di Kelantan," kata Mustapa.

Sementara itu, Mat Razi berkata walaupun pelantikan itu merupakan satu perkara yang berat namun beliau akan mencuba sedaya upaya bagi memastikan BN berjaya menawan kembali Kelantan daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Saya akan cuba sedaya upaya untuk bersama-sama rakan yang lain kerana fokus utama adalah untuk menambah bilangan kerusi BN dalam DUN Kelantan dan kembali memerintah Kelantan pada PRU-14," katanya.

Katanya beliau akan merujuk dan sentiasa belajar daripada rakan-rakan yang telah lama menjadi wakil rakyat sebagai panduan untuk sentiasa disenangi rakyat.

Mat Razi mempertahankan kerusi BN bagi DUN itu dengan memperoleh majoriti 2,635 undi iaitu bertambah sebanyak 899 undi berbanding majoriti 1,736 undi diperoleh penyandang dari BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau mendapat 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim (7,326 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail yang hilang wang pertaruhan dengan memperoleh hanya 38 undi.