Menteri Besar Perak dan semua Exco Kerajaan Negeri diwajibkan untuk mengisytiharkan harta sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia merupakan antara sebahagian daripada lima teras utama dan 10 dasar tumpuan yang digariskan dalam manifestonya.

Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata PH tidak beretorik menerusi manifesto tersebut.

“PH tidak beretorik dan tidak merasakan tawaran-tawaran ini umpama ‘kelekatu hendak tebang ke langit’ malah kami beriltizam dengan apa yang telah digariskan dalam kesepakatan PH.

“Kami akan memastikan janji-janji yang telah kami kemukakan ini, akan dilaksanakan apabila kami mentadbir kerajaan negeri Perak yang kita cintai,” katanya pada majlis pelancaran manifesto itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiuasaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata manifesto tersebut adalah praktikal dan munasabah.

Lima teras utama dalam manifesto PH adalah kebajikan dan ekonomi rakyat, amanah dan integriti, keadilan sosial dan demokrasi, budaya ilmu dan penyelidikan serta alam sekitar dan komuniti.

Antara aku janji lain yang dijangka mencuri hati rakyat meliputi penurunan kadar tarif air domestik, memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan bil-bil kerajaan negeri.

Malah, PH Perak juga mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan penawaran biasiswa pendidikan negeri selain tidak akan menaikkan cukai pintu selama lima tahun.