Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyangkal dakwaan "lantikan kroni" dalam kalangan ahli-ahli majlis bagi Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

Katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, tuduhan yang dibuat calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran, adalah fitnah.

Menurut Wan Rosdy, pelantikan Ahli Majlis dibuat dalam kalangan orang tempatan yang berada dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands.

"Ternyata, ini adalah satu lagi fitnah yang dilemparkan olehnya untuk meraih undi bagi menghadapi PRK Parlimen P078 Cameron Highlands pada 26 Jan ini.

"Jika beliau masih beriya-iya cuba untuk 'menegak benang yang basah', maka nasihat kita kepadanya ialah sila buktikan dakwaannya," katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu, Kerajaan Negeri Pahang membuat lantikan Ahli Majlis berdasarkan tempat mereka menetap selain mementingkan soal komposisi kaum dan jantina.

"Oleh itulah, dalam kalangan ahli-ahli majlis MDCH juga terdapat Orang Asli, wanita, golongan muda serta wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO)," kata Wan Rosdy.

Pada Selasa, Manogaran dalam satu sidang media mempertikaikan lantikan Ahli Majlis di Cameron Highlands pada 27 Dis lalu, yang didakwa bukan anak-anak tempatan.

Disebabkan itu, menurut Manogaran, ahli-ahli majlis itu gagal untuk memahami masalah dan sentimen penduduk Cameron Highlands.