Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap agar barisan kabinet baharu menjalankan tugas dengan menumpukan kepada perpaduan rakyat dan fokus kepada pemulihan ekonomi negara.

Presiden MBM Jufitri Joha dalam satu kenyataan berkata MBM sebagai pergerakan belia yang tidak berpihak akan terus bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan, dan Kementerian Belia dan Sukan khususnya untuk pembangunan belia dan negara.

"MBM menggesa kabinet baharu menjalankan tugas dengan penumpuan kepada pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan, pengawalan COVID-19, membanteras rasuah dan salah guna kuasa, perpaduan dan reformasi institusi, kurangkan berpolitik dan mengungkit hal-hal yang lepas.

MBM merayu agar kerajaan segera menyatupadukan semula seluruh rakyat Malaysia, jangan ada tertinggal dan disisihkan semata-mata kerana berbeza pendirian sebagaimana penegasan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin) dalam ucapan sulungnya bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua," katanya.



Selain itu, MBM turut mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Menteri Belia dan Sukan kerana beliau mempunyai latar belakang pergerakan belia sebelum ini.

"MBM mengharapkan senario pembangunan belia dan pergerakan belia akan lebih maju dan hebat di bawah kepimpinan beliau kerana beliau diyakini memahami dan menjiwai keadaan pembangunan pergerakan belia negara," jelasnya.

-- BERNAMA