MCA akan terus melaksanakan peranan utama dalam Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kepentingan kaum Cina, kata Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Gagasan 13 parti komponen ini berpegang kepada perkongsian kuasa dan membuat keputusan berdasarkan konsensus. Oleh itu, gesaan supaya keluar daripada BN adalah salah dan tidak bermoral, serta tidak menepati matlamat," katanya di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-68 MCA, Liow menegaskan bahawa hanya dengan sokongan kaum Cina yang akan membolehkan MCA memperjuangkan hak dan kepentingan yang layak dinikmati mereka.

Mengakui bahawa kaum Cina pada hari ini berdepan dengan cabaran paling getir sejak 60 tahun yang lalu, menteri pengangkutan berkata ini disebabkan perwakilan kaum itu dalam politik adalah lebih rentan berbanding sebelum ini.

"Saya ingin membuat gesaan paling tegas kepada semua kaum Cina agar melakukan perubahan menyeluruh dalam penetapan minda mereka, di peringkat yang sangat penting ini, supaya bersatu dengan sesungguhnya untuk mengubah destini kaum Cina (Malaysia)," katanya.

"Tema sambutan ulang tahun pada hari ini adalah 'Stronger Together'. Saya ingin menegaskan bahawa perpaduan bukan hanya tentang menyatupadukan MCA, tetapi juga menyatupadukan kaum Cina," katanya.

Menyentuh tentang DAP, Liow berkata sejak dua pilihan raya umum lepas, DAP telah menggunakan gimik politik tidak bertanggungjawab yang mengakibatkan perwakilan daripada kaum Cina semakin berkurangan.

Ini, katanya, meletakkan kaum Cina dalam kepasifan di bawah pakatan pembangkang dan secara tidak langsung membantu memperkukuhkan asas kuasa PAS.

Mengenai persiapan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, Liow berkata semua anggota MCA kini mesti bersiap sedia untuk 'pergi berperang'.

Beliau turut menggesa agar mereka menggunakan media sosial ke peringkat paling maksimum untuk memperoleh keputusan lebih baik dan menggesa semua anggota parti supaya menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk membantu parti memikat pengundi. -- Bernama