MCA sudah mengenal pasti anak tempatan untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang penasihat DAP Lim Kit Siang.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata calon itu mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dan disukai oleh penduduk di situ dan telah diarahkan untuk memulakan gerak kerja di peringkat akar umbi.

"Kita sudah kenal pasti dan telah mula gerak kerja. Tapi kita akan serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Bentong-Sabai di sini, pada Sabtu.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Barisan Nasional (BN) Johor bersetuju untuk meletakkan calon MCA bertanding di kerusi itu.

Pada PRU13 pada 2013, Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Mengenai DAP, Liow berkata: "Rakyat tahu bahawa DAP tidak memberi sebarang khidmat. Mereka hanya pandai bercakap. Rakyat boleh lihat bahawa hanya BN mempunyai nilai teras seperti kesepakatan dan perpaduan yang membolehkannya memberikan khidmat dijanjikan, termasuk di Gelang Patah."

Katanya, MCA akan menapis calon-calon berpotensi sebelum mengemukakannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bagi menentukan calon mereka bersih dan bertanggungjawab.

Liow berkata MCA menyambut baik inisiatif suruhanjaya itu untuk menapis calon bagi PRU14.

-- BERNAMA