MCA akan meletakkan calon yang "rajin turun padang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) demi membantu penduduk di peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar dalam usaha menaikkan taraf hidup rakyat.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kesemua mereka telah diminta melakukan gerak kerja untuk berkhidmat kepada rakyat dengan prestasi mereka akan dinilai dari semasa ke semasa untuk disenarai pendek sebagai calon.

"Calon mesti rajin turun padang, berdampingan dengan rakyat dan kita juga membuat kajian untuk pastikan calon kita adalah calon popular boleh berkhidmat dan mendapat sokongan daripada semua rakyat tidak mengira bangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan PRU14 MCA Bahagian Jasin, di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi MCA Bahagian Jasin Datuk Koh Chin Han dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bemban Datuk Ng Choon Koon.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata pihaknya yakin mereka dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat memandangkan pemilihan calon itu berdasarkan keputusan parti selain kriteria disukai ramai dan boleh menang.

-- BERNAMA