MCA menafikan parti itu memainkan sentimen perkauman dalam jelajah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sebaliknya menegaskan fokus mereka lebih kepada memperjuangkan isu rakyat setempat.

Calon MCA bagi PKR itu, Tan Chee Teong berkata dakwaan yang dilemparkan DAP terhadap MCA adalah tidak berasas sama sekali kerana isu sentimen seperti itu langsung tidak timbul mahupun disuarakan oleh rakyat kepadanya ketika ditemui sepanjang 17 hari berkempen.

"Saya perlukan sokongan semua kaum, jadi macam mana isu (sentimen kaum) boleh timbul? Kempen saya kepada semua kaum di Balakong adalah sama saja," katanya kepada pemberita semasa meninjau masalah penduduk di Taman Sri Kota, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam menyatakan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong mendakwa MCA dan UMNO dilihat masih tidak memahami kehendak rakyat Malaysia baharu diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) apabila memainkan sentimen kaum dalam kempen pilihan raya mereka.

Mengulas lanjut, Tan menegaskan kempennya bukan sekadar meraih undi semata-mata tetapi turut mendengar sekecil-kecil masalah yang disuarakan rakyat dan jika diberi mandat sebagai wakil rakyat baharu Balakong, setiap isu yang diadukan kepadanya akan dibawa ke dalam persidangan DUN untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, dalam tinjauan Tan di Taman Sri Kota, kira-kira 100 penduduk mengadu kepadanya mengenai bantahan pembinaan laluan keluar masuk pembangunan di atas tapak taman permainan menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke lokasi lain.

Beliau berkata walaupun suara rakyat di situ dilihat kecil, namun pihaknya komited untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan jika diberi mandat kelak.

Tan akan berhadapan calon PH Wong Siew Ki dalam PRK itu pada Sabtu ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

-- BERNAMA