MCA memecat 12 anggotanya selepas didapati melakukan tindakan bercanggah dengan perlembagaan parti, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Lembaga Tatatertib MCA Tan Sri Chor Chee Heung berkata tujuh daripada mereka telah bertindak menjadi calon Bebas dan calon parti pembangkang bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) manakala lima lagi menjadi pencadang/penyokong atau saksi kepada calon-calon itu.

"Kita dapati 12 anggota ini bersalah dan bercanggah dengan Artikel 122 Perlembagaan parti.

"Perbuatan mereka ini menjejaskan imej parti dan seolah-olah sabotaj calon Barisan Nasional (BN) di kawasan mereka bertanding," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang dipecat ialah dua anggota MCA Bahagian Tebrau, Ting Choon Hai dan Lim Yak Hong yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa manakala Tee Boon Tsong dan Ng Yak Howe masing-masing daripada MCA Bahagian Pulai dan Bakri pula menjadi calon DAP di DUN Senai dan Bentayan .

Selain itu, dua anggota MCA Bahagian Batu Gajah, Chin Kwai Heng dan Chin Kwai Leong bertanding sebagai calon Parti Sosialis Malaysia masing-masing di DUN Tronoh dan Menglembu serta seorang anggota MCA Bahagian Bukit Mertajam bertanding sebagai calon PKR di DUN Kulim.

Chor berkata keputusan untuk memecat 12 anggota terbabit dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Presiden semalam.

"Lembaga Tatatertib selepas melihat dengan teliti senarai nama ini maka di bawah Artikel 124(1), kami telahpun mengesyorkan 12 anggota ini dipecat daripada parti dengan serta-merta. Lembaga Tatatertib tidak mempunyai hak atau kuasa untuk pecat.

"Kita hanya memberi syor dan kita telah buat syor kepada Majlis Presiden dan mereka bersetuju dengan syor kita untuk memecat 12 anggota ini dan Majlis Presiden mengarahkan saya untuk mengadakan sidang media di sini," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menyerahkan surat pemecatan itu kepada anggota terbabit hari ini.

Chor juga berkata tindakan memecat 12 anggota tersebut adalah untuk mengingatkan semua anggota parti supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru selain menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan ketidakpuasan hati.

-- BERNAMA