MCA perlu mantapkan parti sendiri sebelum menuduh UMNO khianati semangat Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, punca BN kalah bukan hanya terletak pada UMNO tetapi juga disebabkan kelemahan parti komponen, termasuk MCA.

"Lebih baik beliau (Dr Wee) fokuskan macam mana nak tingkatkan sokongan MCA daripada dia pertikaikan soal Pas bersama dengan UMNO," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian susulan kenyataan presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyifatkan cadangan presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk Pas dan UMNO bergabung sebagai mengkhianati BN.

Tuan Ibrahim turut mengatakan bahawa MIC lebih baik daripada MCA.

Apabila ditanya pemberita mengenai kata-kata Tuan Ibrahim itu, Dr Wee enggan mengulas lanjut, hanya menyifatkan kenyataan itu sebagai perkara tidak penting.

"Dia bukan dalam parti saya, untuk apa saya ambil peduli tentang mereka?" katanya kepada wartawan di sini.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilaporkan mengajak presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka untuk kedua-dua parti itu bergabung dalam satu ceramah di Kampung Gajah, Perak.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam ceramahnya selepas itu tidak menyentuh mengenai pelawaan Ahmad Zahid.

Dr Wee berkata, beliau sedih melihat ‘penolakan’ daripada Abdul Hadi itu hingga menyebabkan pelawaan Ahmad Zahid menjadi bahan gelak ketawa.