Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan parti MCA pernah membuat pemohonan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang didakwa bekas Pedana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak beliau mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri pada 2009, pihaknya tidak pernah sekalipun menerima tuntutan daripada parti komponen Barisan Nasional itu untuk menjawat jawatan itu.

“Sejak saya jadi PM, MCA tidak pernah minta nak jadi TPM. MCA dah dapat jadi menteri pun mereka sudah berterima kasih dah,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan, dakwaan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal selain seperti sudah kehabisan modal untuk mengutarakan isu politik.

Sebelum ini, Tun Mahathir dikatakan membuat ‘pusingan U’ dengan mengatakan MCA yang memohon jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas pada mulanya berkata DAP yang membuat permintaan itu.

Hadir sama pada majlis hari ini ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. DS. Subramaniam dan Presiden Kelab Bell Belia Tamil Nalaysia K. Murali Nath.

Kelab Bell Belia Tamil Malaysia yang ditubuhkan pada 1956 memiliki 24,552 anggota dan 292 cawangan di seluruh negara dan diwujudkan bagi mempromosikan kebudayaan, kesenian serta bahasa Tamil.

Pada majlis sambutan itu, Najib menyampaikan cek bernilai RM2.18 juta untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil di negeri ini yang diterima oleh Mohamad.