Pas akan mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama MCA bagi memberi penjelasan berhubung dasar parti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain memberi gambaran jelas, ia sekali gus dapat memecahkan kegusaran dan persepsi negatif yang timbul.

"MCA tidak perlu gusar terhadap dasar Pas kerana setiap tindakan parti itu mengikut saluran yang betul.

"MCA juga tidak perlu bimbang apa yang Pas perjuang, Pas bukan parti ekstremis sebagaimana dilaporkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dibimbangi kerana Pas memerintah negara sejak sekian lama dan didaftarkan sejak sebelum merdeka.

"Kita mentadbir parti berdasarkan peraturan, undang-undang yang ada.

"Kita sendiri menentang sebarang bentuk perlakuan ekstremis. Sebarang penentangan yang kita buat mengikut saluran yang ada," katanya.