Perpecahan orang Melayu dalam konteks kepartian menyebabkan bangsa itu menjadi minoriti di negara sendiri, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, kerana perpecahan itu, bangsa Melayu terpaksa bergantung dengan 'orang lain' untuk mendapat kemenangan.

“Kita berjumlah 60 peratus tetapi kita sendiri mengurangkan peratusan itu. 60 peratus itu berpecah menjadi tiga atau empat buah parti yang mana masing-masing menjadi minoriti dan bergantung kepada orang lain untuk menentukan kemenangan.

“Itu bukan kesalahan parti UMNO atau PAS, tetapi kesalahan orang Melayu kerana bila diberi kuasa untuk perbaiki diri, mereka merebut kuasa dan melemahkan diri mereka sendiri,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Bersatu ke-2 yang berakhir pada Ahad.


Sementara itu, Dr Mahathir turut mengingatkan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu seluruh negara agar tidak tamak dalam berpolitik.

Menurut Perdana Menteri, beliau mendengar khabar bahawa ada Ketua Bahagian Bersatu yang bertindak menyingkirkan ahli parti disebabkan ketamakan.

“Dalam politik, ada masa kita menang dan ada masa kita kalah. Bila kita kalah, kita perlu terima dan lawan sekali lagi selepas itu,” katanya.