Melayu tidak pernah hilang kuasa berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata persepsi itu dimainkan UMNO yang mendakwa kononnya kini Melayu sudah hilang kuasa.

"Saya hendak beritahu orang Melayu, setelah Pakatan Harapan menang pilihan raya, orang Melayu tidak hilang kuasa.

"Yang hilang kuasa ialah UMNO. Inilah yang paling ditakuti oleh UMNO. Apabila hilang kuasa, segala
kesalahan mereka terbongkar dan pemimpin mereka terpaksa berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah.

"Bersatu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Jika terbukti mereka bersalah, biarlah mahkamah yang menentukan nasib mereka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Dalam pada itu, tegas Muhyiddin, orang Melayu seharusnya bersyukur UMNO kalah sekali gus pemimpin UMNO tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa untuk menutup segala kesalahan dan penipuan mereka.

"Sesungguhnya kebenaran telah menjelma dan kebatilan telah lenyap," katanya.

Muhyiddin berkata Bersatu perlu sentiasa bermuhasabah diri selepas menjadi parti yang baharu menerima mandat rakyat.

"Kita mesti ingat bahawa kuasa adalah satu amanah yang berat, bukan hak atau keistimewaan.

"Kuasa juga bukan sesuatu yang boleh kita bermegah-megah. Sesiapa yang diamanahkan dengan kuasa bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan jujur, adil dan saksama," katanya.