Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan memang wujud satu perbincangan dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan mengenai kebarangkalian berlakunya aktiviti 'lompat parti' oleh Ahli Parlimen UMNO.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan kira kira tujuh bulan lalu iaitu seminggu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa parti-parti kompenen Pakatan Harapan tidak perlu gusar atas tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Pakatan Harapan kerana telah ada perbincangan dalam kalangan pimpinan tertinggi mengenai perkara tersebut.

BACA: Lompat parti: Demi peroleh dua pertiga majoriti Parlimen - Saifuddin

BACA: 'Terima ahli UMNO masuk Bersatu, Kit Siang dulu pun terima saya' - Tun M

"Perbincangan dalam Pakatan Harapan tentang fenomena lompat parti ini memang ada dibuat dan telah pun dibincangkan tujuh bulan seminggu selepas kerajaan Pakatan Harapan menang, kami bincang dah perkara ini (walaupun) masa tu lompat parti belum berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serahan Zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sempena Program Jualan Rakyat Parlimen Pokok Sena di sini, pada Ahad.

Beliau menyatakan, dalam perbincangan tersebut terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi pemimpin pembangkang terutama dari UMNO untuk menyertai Pakatan Harapan.

Perkara tersebut adalah sebagai asas bagi memastikan Pakatan Harapan tidak dilihat sebagai tempat untuk menyucikan kesalahan pemimpin tersebut disamping tidak mengecewakan kepercayaan pengundi pengundi Pakatan Harapan.

"Pertama, dia mesti umum keluar parti.. kedua, dia kena tunggu satu tempoh.. ketiga, tatkala dia membuat permohonan menyertai mana-mana parti secara formal, parti yang nak buat keputusan (untuk menerima) harus ambil kira perkara tadi tu. Saya kata parti itu akan timbangkan mengikut kes," katanya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan kesemua parti kompenen dalam Pakatan Harapan tetap berpegang teguh asas kesepakatan dalam pakatan tersebut.

Katanya, tidak ada sebarang usaha atau komplot yang dirancang mana-mana kompenen untuk menjejaskan keharmonian dan kesepakatan yang telah termeterai.