Pakatan Harapan (PH) perlu memikirkan cara untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis berbanding terus membuat desakan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan proses peralihan kuasa Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Ketua Armada Bersatu Lumut, Muhammad Akmal Maradzi berkata, sekiranya desakan Dr Mahathir melepaskan jawatan terus disuarakan, rakyat dikhuatiri akan terus muak dengan politik yang dilihat sebagai tidak matang.

"Kita sebagai pemimpin muda yang lahir dalam Malaysia Baharu ini perlu menunjukkan sikap yang matang dalam menangani sebarang isu termasuklah melibatkan keputusan peralihan kuasa Perdana Menteri.

"Apa yang penting pada ketika ini bukanlah tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri tetapi bagaimana tumpuan kita untuk memenangi PRK Kimanis bagi membantu kemenangan Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah yang menentang Datuk Mohamad Alamin dari Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir meminta mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang membincangkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei ini.

Kata Akmal Nasrullah, proses peralihan kuasa jawatan nombor satu negara dalam tempoh dua tahun selepas PH menjadi kerajaan perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda gabungan itu.

Dalam pada itu jelas Akmal, semua pimpinan dalam PH terutamanya pemimpin muda dalam setiap parti gabungannya pada ketika ini perlu memainkan peranan dalam memastikan mereka terus diterima rakyat.

"Krisis kepercayaan rakyat terhadap PH perlu ditangani segera dan itu merupakan tanggungjawab pemimpin muda yang pada hari ini.

"Kita sebagai pemimpin muda yang lahir dalam Malaysia Baharu ini perlu menunjukkan sikap yang matang dalam menangani sebarang isu termasuklah melibatkan keputusan peralihan kuasa Perdana Menteri.

"Semua pihak dalam PH perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Dr Mahathir untuk melakukan transisi jawatan Perdana Menteri. Tarikh itu akan tiba dan serahkan semuanya ke atas kebijaksanaan beliau," katanya.

Pada Ahad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tarikh peralihan kuasa perlu dibincang dalam forum atau mesyuarat Majlis Presiden PH dalam suasana baik.

Tegasnya, isu berkenaan tidak perlu dihangatkan selain perlu diserahkan kepada kepimpinan PH.