Tindakan mengeluarkan kata-kata kesat serta enggan mematuhi arahan Speaker telah menyebabkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dihalau dari persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 berkaitan kelakuan tatatertib di dalam persidangan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Said mengarahkan Mahfuz keluar selepas berulang kali memberi nasihat kepadanya supaya diam.

Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS itu telah mempertikaikan jawapan Menteri di Jabataan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana gagal menyatakan pendirian kerajaan berhubung pindaan Akta 355, sambil menyifatkan menteri itu sebagai ‘bacul’.

Berikutan itu, Ismail telah memberi amaran kepada Mahfuz dengan mengingatkan beliau tentang peraturan mesyuarat.

“Yang berhormat Pokok Sena! Sila duduk! Kita ada peraturan, Yang Berhormat… kita tidak boleh hendak paksa Menteri menjawab.

“Mana ada peraturan yang memaksa Menteri menjawab,” kata Ismail pada sesi ucapan penggulungan Menteri bagi titah ucapan Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sementara itu, Mahfuz pada satu sidang media sejurus selepas itu mendakwa, kegagalan Jamil Khir menjawab soalannya pada persidangan tadi merupakan bukti bahawa kerajaan telah tunduk kepada desakan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut Mahfuz, kerajaan telah pun menyatakan persetujuan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada Disember lalu untuk membawa Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 ke Majlis Raja-Raja pada 11 dan 12 Mac lalu.

“Tapi nampaknya tadi dia kata tak dibawa lagi kepada Majlis Raja-Raja sedangkan jawatankuasa yang dia selia, seperti Jakim dan sebagainya sudah pun sedia dan hanya untuk mendapat sokongan Majlis Raja-Raja sahaja.

“Persoalannya ialah kenapa dia tak bawa? Ini menunjukkan kerajaan bila ada tekanan dari pihak komponen BN, mereka terpaksa ambil jalan untuk tidak membawa perkara tersebut untuk membolehkan pindaan kepada Akta 355,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun Jamil Khir sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihak kerajaan perlu meniliti dahulu rang undang-undang yang ingin dibentangkan sebelum menyatakan sebarang pendirian.

“Kita perlu lihat dahulu rang undang-undang yang ingin dibentangkan… dan kita (juga) dalam proses untuk bawa kepada Majlis Raja-Raja. Apa yang pasti memang kita tak kemukakan ketika mesyuarat Majlis Raja-Raja yang lalu.

“Bukan urusan jawatankuasa teknikal (berhubung pindaan) untuk bawa kerana ada kena mengena dengan urusan kerajaan…Jabatan Peguam Negara dan sebagainya,” jelas beliau.

Meskipun begitu, Mahfuz tetap berdegil untuk mendapatkan pendirian segera daripada kerajaan berhubung cadangan untuk meminda Akta 355 yang akan dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) melalui rang undang-undang persendirian.

Sidang media oleh Mahfuz yang diadakan kira-kira jam 6.30 petang itu juga berlangsung dengan cepat kerana beliau memaklumkan terpaksa bergegas untuk menaiki penerbangan jam 8 malam.

Timbalan speaker sebelum itu turut ‘menyindir’ bahawa Mahfuz sengaja ingin membuatkan dirinya diarah keluar kerana ingin ‘balik awal’.