Himpunan Perdana Rakyat Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan 8 Disember ini akan diteruskan.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, himpunan itu perlu diteruskan bagi menunjukkan kekuatan orang Islam kepada segelintir menteri yang kelihatan ‘lebih sudu daripada kuah’.

Menurutnya, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan bahawa ICERD mustahil untuk dilaksanakan namun masih ada menteri yang mengeluarkan kenyataan berbeza.

"Mengapa diteruskan kerana kita ada pandangan politik, pandangan politik kita apabila ada menteri-menteri buat kenyataan, nak tangguh lagi, tunggu dulu, menandakan kerajaan dalam keadaan begitu celaru.

"Kita perlukan penegasan. (Menteri- menteri terbabit) tidak menghormati Perdana Menteri. Jadi kalau menteri tidak hormat Perdana Menteri jadi kita kena tunjuklah kekuatan orang Islam," katanya sepertimana dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya selepas berakhir kuliah di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya juga akan mengerahkan seramai mungkin ahli ke perhimpunan itu namun memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa mengawal keadaan.

"Kita akan kerah seramai ramainya, dijangka ramai akan hadir dan kita kawal supaya tidak berlaku perkara tidak diingini. Tidak berlaku provokasi. Kita akan kawal. Kita beri jaminan dengan kerjasama polis. Kita pergi berunding dengan polis dan berbincang dengan mereka untuk jaga, kawal.

"Perkara ini berkait dengan orang Islam, orang Melayu secara khusus tanpa mengira politik, agama termasuk polis itu sendiri sebagai pegawai kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata isu rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pula tidak wajar dikaitkan dengan himpunan besar-besaran telah dijadual itu.

Menurutnya, Himpunan Perdana Rakyat Tolak ICERD tiada kaitan dengan rusuhan yang berlaku kerana peristiwa rusuhan berlaku di kuil berkenaan melibatkan hal pelanggaran undang-undang.

"Itu tidak ada kena mengena dengan (isu) kuil...(isu) kuil itu hendak kuatkuasa undang undang sendiri (maka) tak bolehlah..(Perhimpunan) kita tidak terlibat dengan isu kuil ini.

"Kita juga telah membuat kenyataan bahaya rusuhan berlaku di kuil itu bukan peristiwa yang berkait dengan agama, ia berkait dengan kaum hanya di kalangan yang tertentu sahaja.

"Kita tahu kuil itu berkait dengan agama tapi tindakan itu tidak mengikut agama, tidak mengikut undang undang. Tidak boleh kalau pencuri naik rumah saya, saya laksanakan undang-undang sendiri.

"Mestilah pihak kerajaan yang laksanakan undang-undang terhadap pencuri itu walaupun saya tidak bersetuju dengan undang-undang hari ini, saya tidak boleh buat undang undang sendiri," katanya.

Terdahulu, Mufti Kelantan Datuk Mohd Shukri Mohamad dilapor berkata beliau melihat tiada keperluan untuk mengadakan himpunan kesyukuran terhadap penolakan ICERD pada 8 Disember ini.

Namun menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah, parti itu menghormati pandangan mufti tersebut namun pihaknya mengambil pertimbangan lain yang memerlukan perhimpunan itu diteruskan seperti yang dijadualkan.

“Kita menghormati pandangan mufti tapi kita ada pertimbangan lain.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sebut apa yang berlaku (isu di Subang Jaya) itu tidak menimbulkan masalah perkauman atau agama, jadi tidak berbangkitlah. Itu masalah dalaman sahaja,” katanya lagi.