Menteri Besar Perak,Datuk Seri Zambry Abd Kadir menjelaskan pertemuan beliau dengan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah adalah atas dasar perbincangan isu berkaitan dengan masyarakat di kawasan berkenaan.

Katanya, perjumpaan dengan bekas Menteri Kewangan Kedua itu melibatkan beberapa perkara yang memerlukan perhatian beliau sebagai pemimpin negeri di mana soal kebajikan rakyat menjadi topik utama.

Kira-kira setahun selepas perletakan jawatan mendadak beliau, lawatan Husni di pejabat Menteri Besar berkenaan pada Rabu lepas telah menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya pelbagai pihak.

“Ianya merupakan pertemuan biasa dengan mana-mana wakil rakyat, yang ingin berjumpa dengan saya dan membincangkan hal ehwal rakyat yang memerlukan perhatian saya.

“Beliau juga merupakan wakil rakyat daripada Barisan Nasional, takkanlah saya nak kata tidak bila dia mohon nak berjumpa, kerana dia datang sebagai ahli parlimen untuk rakyat sekitar Tambun,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Hospital Angkatan Tentera TLDM di sini, hari ini.

Zambry bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada sebarang isu politik telah dibincangkan, termasuk berkaitan pilihan raya umum akan datang.