Di sebalik pembatalan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Amanah Negara (AMANAH) di beberapa lokasi, parti itu menegaskan kedudukan mereka kekal stabil di seluruh negara.

Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir, parti itu terus menerima keahlian baharu dengan jumlah tinggi setiap bulan.

“Segala pandangan dan kritikan hadirin telah diberi perhatian serta diterima baik oleh kepimpinan AMANAH untuk mengukuhkan parti ini.

“Berdasarkan respon hadirin, AMANAH menjangkakan pemulihan ini tidak akan mengambil masa yang panjang untuk selesaikan,” demikian katanya dalam satu kenyataan.

Mengakui laporan sebuah portal bahawa status sebahagian kawasan dan sayap terjejas, jelas Mohd Anuar, situasi semasa yang berlaku dalam parti tidak mengganggu proses pemilihan dan penganjuran Konvensyen Nasional 2019 AMANAH pada Disember depan.

“Sehubungan itu, penganjuran Taklimat Khas Organisasi 2019 pada 21 September 2019 (semalam) seperti ditularkan hanyalah bertujuan untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan memberikan kaedah penyelesaian kepada hadirin yang terdiri daripada kalangan Ketua dan Setiausaha Kawasan serta Sayap yang terlibat,” ujarnya.

Terdahulu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa turut mengesahkan AGM AMANAH di beberapa kawasan di seluruh negara dibatalkan ekoran beberapa isu teknikal.

Ia susulan laporan sebuah portal berita dalam talian pada Jumaat melaporkan sebanyak 148 AGM termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita AMANAH dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.