PUTRAJAYA:Mesyuarat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Jemaah Kabinet selesai pada pukul 2 petang tadi selepas hampir tiga jam berlangsung di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 11.30 pagi itu dihadiri Menteri-Menteri Kabinet dipercayai membincangkan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menolak pengisytiharan darurat semalam.

Antara barisan Kabinet yang telah keluar meninggalkan Pejabat Perdana Menteri termasuk Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Selain itu, turut meninggalkan Bangunan Perdana Putra ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Mesyuarat Khas itu diadakan bagi membincangkan lebih lanjut titah Seri Paduka bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.


Terdahulu, Muhyiddin turut mengadakan pertemuan bersama pemimpin parti politik daripada Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung kira-kira dua jam bermula pukul 9.30 pagi tadi.

BACA: Pertemuan PM hanya libatkan ketua parti dalam PN

Astro AWANI difahamkan, mereka terdiri daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof.

LAPOR LANGSUNG: Mampukah Ahli Parlimen berhenti main politik selepas titah Agong?

LAPOR LANGSUNG: Tiada keperluan darurat, berhenti main politik - Titah Agong