KUALA LUMPUR :Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) yang sepatutnya berlangsung di Menara Dato’ Onn malam ini, telah dibatalkan pada saat akhir.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, yang juga Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI.

“Ya,” ujar Ahli Parlimen Ketereh itu bila ditanya mengenai pembatalan berkenaan.

Terdahulu media telah berada di lobi Menara Dato’ Onn seawal jam 7 malam untuk mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.

Awal hari ini Annuar dilaporkan berkata, mesyuarat itu akan membincangkan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sah ke dalam MN.

Dalam pada itu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sepatutnya berlangsung di Pahang esok juga dilaporkan telah ditunda.

Menurut mesej yang telah tular, mesyuarat berkenaan ditangguhkan sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Mesej itu, yang didakwa hanya untuk tatapan  Ahli MT sahaja, memberitahu kebimbangan pimpinan parti tentang persepsi negatif yang mungkin timbul di kalangan rakyat jika parti tetap meneruskan agenda mesyuarat, terutamanya dari sudut Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB.

Sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO mengesahkan mesej itu adalah sahih, tapi enggan mengulas lanjut.