MIC, yang dalam usaha mentransformasi parti itu, akan memfokuskan kepada dua agenda utama dengan memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang serta meraih sokongan masyarakat India.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata MIC sudah mengenal pasti beberapa masalah yang sentiasa menjadi halangan dalam usaha mereka mengembalikan keyakinan masyarakat itu terhadap parti berkenaan.

"Antara masalah yang wujud ialah komunikasi antara anggota dan pemimpin tertinggi parti itu. Ketua-ketua bahagian dan cawangan tidak mengetahui tentang perkembangan parti," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penutup Seminar Kepimpinan Strategik Masyarakat India dan Kerajaan anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri di sini.

Seminar tiga hari bermula Jumaat lepas, disertai lebih 100 ketua bahagian MIC seluruh negara.

Pada PRU13 tahun lepas,MIC menang empat daripada sembilan kerusi parlimen dan lima daripada 18 kerusi dewan undangan negeri yang ditandinginya.

Isu berkaitan cabaran dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial dalam kalangan masyarakat India telah dibincangkan oleh ketua-ketua bahagian bersama-sama barisan kepemimpinan tertinggi MIC dalam seminar berkenaan.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata MIC juga bakal menubuhkan Pusat Sumber yang akan berfungsi sebagai sebuah kumpulan yang akan berkongsi pengetahuan dan hala tuju parti kepada pemimpin parti termasuk di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Beliau berharap penubuhan pusat berkenaan dapat melahirkan beberapa pemimpin yang lengkap dengan latihan dalam pelbagai bidang supaya menjadi peneraju untuk membawa mesej ke peringkat akar umbi parti tersebut.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata kekurangan dana di peringkat bahagian turut menjadi halangan untuk menganjurkan sebarang program kepada masyarakat India.

"Saya berjanji akan membawa isu ini kepada Presiden MIC (Datuk Seri G. Palanivel) supaya dapat diselesaikan dengan kadar segera. MIC juga bakal melakukan kolaborasi dengan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin generasi muda dalam parti itu," katanya.