MIC yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Kemang yang kini dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. K. Devamany.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) termasuk MIC telah melaksanakan pelbagai program dan strategi bagi menyakinkan pengundi di kawasan Parlimen itu untuk kembali menyokong BN.

"Selama ini daripada program yang kita jalankan, pengundi tidak tahu apakah khidmat yang telah diberikan wakil rakyat di situ. Banyak masalah yang mereka hadapi sebelum ini tetapi berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan kerajaan pusat.

"Pun begitu, MIC tidak memandang rendah (pihak lawan) dan telah mengerahkan jentera kami supaya bekerja keras siang dan malam mendampingi seberapa ramai masyarakat agar mereka merasai kehadiran kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil tamat kursus Program Suntikan Kemahiran Pengatucaraan Java dan Android di sini, pada Sabtu yang turut dihadiri Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V. S. Mogan.

Pada PRU13, dalam pertandingan tiga penjuru, BN yang diwakili Mogan dan calon bebas Kamarudin Kumaravel Abdullah kalah kepada calon PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas dengan majoriti 1,579 undi.

Kawasan Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Bagan Pinang dan Linggi dikuasai BN manakala Chuah dan Port Dickson disandang PKR dan Lukut oleh DAP.

Terdahulu, seramai 60 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil tamat kursus kemahiran pengaturcaraan java dan android dalam program yang dianjurkan oleh Yayasan Pemacu Kemahiran Nasional dengan kerjasama Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic).

Ia bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran belia India di negara ini dan setakat ini 10 kawasan Parlimen telah melaksanakan program serupa melibatkan kira-kira 500 peserta.

-- BERNAMA