Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui Pakatan Harapan (PH) sukar untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada 13 April ini.

Justeru, beliau berkata PH perlu bekerja lebih keras bagi menawan kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO tersebut.

"Anggapan rakyat bahawa PH adalah barua DAP masih kuat selain pihak lawan menggunakan ayat al-Quran (dalam ceramah).

"Oleh demikian, PH kena ambil perhatian dan perlu berjaga-jaga supaya tidak timbul persepsi yang salah...ini kerana pihak lawan memang kerja mereka menimbulkan persepsi sebegitu," kata Mohammad, yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bicara Minda Bersama Menteri Pertahanan anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Kompleks Karangkraf di sini.

Ditanya sama ada bekas penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden UMNO, merupakan faktor pendorong PH berhadapan laluan sukar di PRK DUN itu, Mohamad berkata itu bukan penyebabnya.

Beliau berkata semua PKR dianggap sukar dan bukan disebabkan kekuatan seseorang calon.

Mohamad, yang kini menjalankan tugaqs-tugas sebagai presiden UMNO, dijangka dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi tersebut.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Feb lalu menolak petisyen Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau tanpa bertanding bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA