Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi tersebut, 13 April ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengumumkan demikian pada majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi PRK DUN Rantau oleh MCA di sebuah dewan di Rantau, dekat sini, malam tadi.

"Kita perlu kerjasama jentera pilihan raya yang baik antara UMNO, MCA dan MIC untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK ini," kata Mohamad, yang kini menjalankan tugas-tugas sebagai presiden UMNO.

Jentera pilihan raya MCA itu dirasmikan oleh presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lalu, Mohamad menang kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon 28 April lalu selepas calon PKR Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak mempunyai pas calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Streram, merangkap naib ketua Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan kemenangan itu.

Pada 18 Jan lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mohamad bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.

-- BERNAMA